Sejarah Masakan British

Pertanian Romano-British, tanah yang sangat subur dan kemajuan dalam bidang penternakan haiwan menghasilkan bahan makanan yang bermutu tinggi untuk orang Romano-British. Orang Anglo-Saxon di England pula memperkembang teknik-teknik membuat stew daging dan penggunaan herba pedas di Britain. Penaklukan orang Norman ke atas Britain membawa kepada pengenalan semula rempah-rempah eksotik dan pengaruh benua Eropah di Great Britain pada Zaman Pertengahan kerana Britain kelautan memainkan peranan utama dalam perdagangan rempah rentas benua untuk beberapa abad selepasnya.

Berikutan Reformasi Protestan pada abad ke-16 dan ke-17 makanan "biasa dan sihat" kekal menjadi tumpuan utama dalam diet orang British, mencerminkan rasa yang masih dikongsi bersama dengan jiran-jiran Eropah mereka di sebelah utara dan hidangan tradisi Amerika Utara. 

Pada abad ke-18 dan ke-19, ketika empayar penjajah British masuk ke India, makanan British mula dipengaruhi oleh tradisi rumit makanan India yang menggunakan rempah ratus, herba dan bahan-bahan pemerap yang kuat. United Kingdom mempunyai reputasi dalam bidang penternakan dengan menghasilkan daging lembu yang bermutu tinggi. Lembu dari UK dieksport ke Dunia Baru untuk menghasilkan kawanan lembu yang moden dan baru di sana. Kemajuan dalam tanaman pula menghasilkan buah-buahan dan sayuran yang pelbagai. Stok asas pokok buah-buahan yang tahan penyakit dari Britain masih digunakan di seluruh dunia untuk menghasilkan epal yang bermutu. 

Semasa Perang Dunia pada abad ke-20, kerajaan British terpaksa menjalankan catuan kerana kekurangan bekalan makanan. Keadaan semakin buruk pada zaman Perang Dunia ke-II. Kementerian Makanan diasaskan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan ini. Disebabkan oleh masalah ekonomi berikutan peperangan, catuan makanan disambung selama bertahun-tahun dan dalam beberapa ketika, ia menjadi sangat ketat terutamanya semasa peperangan. 

Catuan tidak dihapuskan sepenuhnya sehinggalah berakhirnya peperangan di Eropah. Generasi pada zaman itu dibesarkan tanpa akses kepada bahan-bahan yang biasa ditemui sebelumnya. Dasar-dasar kerajaan British ini sering dipersalahkan sebagai punca kepada kejatuhan dalam rasa makanan British pada abad ke-20 M.

Kewujudan masyarakat pengguna yang sangat moden serta kurang berhubungan dengan persekitaran pedalaman dan juga kurang bergantung kepada peranan keluarga tradisional di Britain adalah disebabkan oleh:
  • Proses urbanisasi yang pantas
  • Perindustrian pengeluaran produk makanan yang awal
  • Kebebasan wanita dalam menyertai ruang pekerjaan
Keselamatan makanan mula menjadi kebimbangan utama selepas Perang Dunia Kedua. Kebimbangan mengenai kualiti dan nilai nutrisi dalam produk makanan yang dikilangkan menyebabkan tercetusnya the Soil Association pada 1946. Prinsip peladangan organiknya kini dipromosikan secara meluas dan diterima sebagai elemen asas dalam budaya makanan kontemporari dalam kebanyakan bahagian masyarakat di UK. Kebajikan haiwan ternakan dalam peladangannya juga adalah antara yang termaju di dunia.
 
Separuh penghujung abad ke-20 menyaksikan peningkatan dalam produk makanan yang baik kualitinya, segar dan kesungguhan masyarakat British sendiri untuk mempelbagaikan diet mereka. Mereka turut menerima budaya pemakanan dari rantau lain seperti memilih makanan mengikut budaya India atau Itali.

Terdapat juga usaha untuk memperkenal kembali masakan British sebelum abad ke-20. Bahan-bahan yang tidak asli dari luar kepulauan British khususnya rempah-ratus dan herba selalu ditambah dalam masakan tradisional British. Hal ini turut terjadi dalam kebanyakan masakan British semasa abad pertengahan.

Kebanyakan daripada masakan British moden turut dipengaruhi oleh hidangan Mediteranean dan baru-baru ini oleh gaya masakan Asia Barat, Asia Selatan, Asia Timur dan Asia Tenggara. Gaya masakan Eropah Utara dan Eropah Tengah yang turut mempengaruhi masakan British pula semakin menghilang.

Gaya masakan British pada pertengahan abad ke-20 muncul sebagai satu tindakbalas kepada catuan makanan yang menyebabkan semua orang tertekan pada Perang Dunia Kedua. Kekangan selain daripada catuan makanan di Britain ketika itu seperti sekatan terhadap tukaran matawang asing juga menyebabkan perjalanan keluar negara menjadi sukar.

Keinginan untuk merasai masakan eksotik telah dipenuhi oleh penilis-penulis buku masakan seperti Elizabeth David pada tahun 1950. Beliau menghasilkan buku resipi yang kebanyakannya berasaskan kepada masakan Perancis dan Mediteranean. Namun, masakan-masakan tersebut mustahil untuk dihasilkan dengan sempurna kerana minyak zaitun sangat sukar diperolehi. Menjelang tahun 1960an, restoran-restoran asing mula bertapak di Britain dan melonjakkan populariti hidangan negara asing.

Masakan British moden baru-baru ini banyak dipengaruhi dan dipopularkan oleh chef-chef selebriti yang turut menulis buku. Antaranya seperti:
  • Franny Cradock
  • Clement Freud
  • Robert Carrier
  • Robert Irvine
  • Keith Floyd
  • Gary Rhodes
  • Delia Smith
  • Gordon Ramsay
  • Ainsley Harriott
  • Nigella Lawson
  • Simon Hopkinson
  • Nigel Slater
  • Jamie Oliver
Selain daripada itu terdapat juga The Food Programme yang dihasilkan oleh BBC Radio 4.